Kerja pembersihan tingkat bacaan indeks kualiti air Sungai Klang

Pembersihan Sungai Klang sejak lima tahun lalu berjaya meningkatkan bacaan indeks kualiti air (WQI) daripada kelas empat kepada tiga.

Dato’ Menteri Besar berkata dalam tempoh berkenaan lebih 67,000 tan metrik sampah dikeluarkan dari sungai berkenaan di bawah projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

“Kerajaan Negeri sudah berbelanja kira-kira RM45 juta untuk membersihkan sungai dengan membina log boom atau perangkap sampah.

“Buktinya, kita dapati jumlah kutipan (sampah) berkurang iaitu 30 hingga 35 tan metrik sehari berbanding sebelumnya antara 40 hingga 50 tan metrik,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari kepada media selepas menyelusuri Sungai Klang dan melawat Taman Awam Pangkalan Batu yang merupakan salah satu daripada lima projek pemangkin di bawah SMG di sini semalam.

Beliau menambah perkembangan itu juga didorong penggunaan inovasi jentera Interceptor yang menjadi pelengkap kepada usaha pembersihan di perairan sepanjang 56 kilometer dari Midvalley ke muara sungai di Pelabuhan Klang.

Menurutnya, Sungai Klang dipilih sebagai sungai pertama di negara ini menggunakan jentera generasi baharu itu dengan kerjasama The Ocean Cleanup diasaskan Boyan Slat.

“Interceptor diperoleh secara percuma hasil kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) tersebut untuk memerangkap sampah sarap pelbagai saiz dari dalam sungai,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here