M’sia tangguh hantar pulang pendatang haram Myanmar

Malaysia memutuskan untuk menangguhkan rancangan bagi menghantar pulang pendatang asing dari Myanmar sehingga selepas satu sidang puncak tergempar serantau bagi membincangkan krisis yang tercetus akibat rampasan kuasa tentera di negara itu.

Sumber-sumber yang dekat dengan perkara itu memberitahu demikian kepada Reuters.

Kumpulan-kumpulan hak asasi manusia menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan rakyat Myanmar apabila Malaysia menghantar pulang 1,068 daripada pendatang haram itu pada bulan lalu, hanya beberapa minggu selepas tentera merampas kuasa pada 1 Februari lalu.

Ditahan di Malaysia atas kesalahan-kesalahan imigresen, mereka dihantar pulang meskipun terdapat arahan mahkamah yang menghalang rancangan tersebut.

Kumpulan-kumpulan hak asasi manusia kemudian memberitahu mahkamah bahawa kanak-kanak dan mereka yang mendapatkan perlindungan suaka di Malaysia adalah antara yang dihantar pulang.

Tiga sumber dari Malaysia yang dekat dengan perkara itu berkata keputusan untuk menangguh rancangan menghantar pulang kumpulan kedua rakyat Myanmar sehingga selepas satu mesyuarat Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk membincangkan krisis di Myanmar dibuat semasa mesyuarat Kabinet semalam (24 Mac).

Sumber-sumber tersebut bagaimanapun meminta identiti mereka dirahsiakan kerana tidak dibenarkan bercakap dengan media.

Bulan ini, Myanmar menawarkan untuk menghantar lagi tiga kapal tentera laut untuk mengambil para penduduknya yang ditahan di Malaysia, menurut salah satu sumber itu.

Kementerian Ehwal Luar Malaysia menyalurkan pertanyaan-pertanyaan yang diterimanya kepada Kementerian Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen. Namun kedua-duanya tidak memberikan sebarang respons.

Minggu lalu, Indonesia menyeru Brunei, pengerusi ASEAN buat masa ini, supaya mengadakan mesyuarat tergempar untuk membincangkan keadaan di Myanmar, di tengah-tengah kekerasan terhadap para penunjuk perasaan anti rampasan kuasa.

Malaysia menyokong saranan Indonesia itu tetapi tidak jelas sama ada mesyuarat itu akan diadakan.

Malaysia berdepan tekanan masyarakat antarabangsa selepas ia menghantar pulang rakyat Myanmar menaiki kapal tentera laut negara itu pada bulan lalu.

Para diplomat berpendapat bahawa Kuala Lumpur mewajarkan rampasan kuasa tersebut dengan menerima tawaran junta tentera untuk mengambil tahanan di Malaysia.

Menurut Malaysia orang-orang yang dihantar pulang pada bulan lalu adalah pendatang tanpa dokumen sah dan tidak termasuk pelarian etnik Rohingya atau mereka yang mencari perlindungan suaka.

Namun kebimbangan berterusan sedang agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah lebih setahun tidak diberikan akses kepada para tahanan untuk mengesahkan status mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here