Kuala Lumpur, Mei-
Seorang guru wanita dan seorang juruteknik elektrik terbabit dalam kes yang tular di media sosial baru-baru ini masing-masing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Melaka hari ini atas kesalahan cubaan berzina.
Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin menjatuhkan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh selepas mereka mengaku bersalah, lapor Bernama.
Kedua-dua mereka yang tidak diwakili peguam juga diperintahkan menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Kedua-duanya dituduh cuba melakukan persetubuhan haram sedangkan mereka bukan suami isteri di sebuah rumah di Sungai Petai dalam daerah Alor Gajah pada 9 malam, 28 Feb lepas.
Tuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum 36 bulan, atau kedua-duanya sekali.




















