Singapura: Tiada rancangan longgarkan had 8 orang

Meskipun jumlah kes COVID-19 dalam kalangan masyarakat di sini kekal rendah sejak kebelakangan ini dan pihak berkuasa juga sudah mula melonggarkan beberapa sekatan bagi penganjuran acara dan di tempat kerja, namun belum ada rancangan untuk melonggarkan had lapan orang bagi perhimpunan privet.

Menteri Kesihatan Gan Kim Yong berkata dengan melonggarkan had tersebut, ia akan meningkatkan penularan kes COVID-19 dengan ketara.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan media di majlis taklimat yang diadakan oleh pasukan bertindak berbilang kementerian mengenai COVID-19 semalam (24 Mac).

Encik Gan, yang juga pengerusi bersama pasukan bertindak itu berkata, tidak seperti peraturan keselamatan lain di tempat kerja dan acara, had lapan orang bagi perhimpunan sosial adalah langkah berjaga-jaga yang ‘luas’, maka sebarang perubahan pada jumlah itu akan meninggalkan kesan lebih besar dari segi interaksi sosial.

Risiko penularan masih wujud dan ia boleh kembali meningkat.                           

Sekalipun demikian, Encik Gan berkata Pemerintah menyemak sekatan-sekatan yang dikuatkuasakan dengan kerap dan perubahan boleh dibuat pada jumlah itu apabila berasa yakin ia tidak akan membawa risiko besar dari segi penularan.

Menyokong komen Encik Gan itu, Menteri Pendidikan Lawrence Wong, seorang lagi pengerusi bersama pasukan bertindak tersebut berkata, Pemerintah akan meneruskan usahanya mengambil langkah secara “terkawal, setelah dipertimbangkan dengan teliti dan secara bertahap-tahap” semasa menilai peraturan mana yang boleh dilonggarkan.

Buat masa ini, masih ada risiko pembentukan kelompok baru sekiranya sekatan-sekatan dilonggarkan terlalu pantas.

Encik Wong turut merujuk kepada insiden-insiden di negara-negara lain di mana kelonggaran sedemikian mengakibatkan penularan pantas virus COVID-19 dalam kalangan masyarakat. Ini kemudian menyebabkan langkah-langkah lebih ketat terpaksa dilaksanakan semula.

“Daripada mengambil pendekatan di mana kami terlalu pantas melonggarkan sekatan, kami melakukannya secara terkawal, menyemak semula setiap langkah yang diambil, memantau keadaan menyusuli pelaksanaan langkah tersebut dan memastikan keadaan kekal stabil.”

Beliau menambah: “Ini merupakan pendekatan yang diambil sepanjang tahun lalu dan pendekatan ini akan diteruskan tahun in, dengan bergantung kepada data dan bukti sedang kami mengambil setiap langkah.”

 

KAWALAN LEBIH KETAT BAGI PEKERJA ASING

 

Semasa taklimat itu juga, pasukan bertindak tersebut ditanya mengapa para pekerja asing masih tertakluk di bawah langkah-langkah lebih ketat berbanding anggota masyarakat yang lain meskipun jumlah kes sudah banyak berkurangan dalam kalangan penduduk.

Encik Wong berkata dormitori-dormitori pekerja asing “kekal sebagai tempat di mana satu kes boleh menular dengan begitu mudah kepada ramai pekerja lain” disebabkan risiko tinggi dalam persekitaran kerja dan tempat tinggal mereka.

“Di tapak binaan, misalnya, meskipun kami melakukan yang terbaik untuk mewujudkan zon-zon berasingan dan mengelak pergaulan antara pekerja, amat sukar untuk memastikan pengasingan sedemikian dipatuhi setiap masa.”

Lantaran itu, pasukan bertindak mengambil langkah lebih berhati-hati dari segi sekatan ke atas para pekerja asing.

Bagaimanapun, sejak awal tahun ini terdapat skim perintis untuk melonggarkan sekatan pergerakan bagi para pekerja asing. Ini termasuk membenarkan mereka keluar dan berada dalam kalangan masyarakat sebulan sekali, kata Encik Wong.

Sedang lebih ramai pekerja asing menerima vaksin COVID-19 dan kadar jangkitan kekal rendah, pasukan bertindak akan secara bertahap-tahap melonggarkan pelbagai peraturan dan perinciannya akan diumumkan kelak.

 

KELAB MALAM & PUSAT KARAOKE

Bagi skim perintis untuk membuka semula premis perniagaan hiburan malam seperti kelab malam dan pusat-pusat karaoke, Encik Wong berkata keputusan muktamad belum lagi dibuat.

Skim perintis itu digantung buat masa ini pada Januari lalu selepas berlaku beberapa kes penularan dalam kalangan masyarakat.

“Seperti yang saya katakan, kami sedang mengawal proses menyambung semula kegiatan, meneliti keadaan secara menyeluruh. Dari segi jangkitan, memastikan ia dibendung dan pada masa yang sama memantau kemajuan program vaksinasi kita,” kata Encik Wong.

“Kami akan terus menyemak semula dan apabila kami sudah bersedia dan mempunyai lebih banyak maklumat, kami akan dapat berkongsi dengan industri perniagaan hiburan malam serta pihak media.” 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here