Vietnam pelbagaikan sumber vaksin COVID-19 di tengah isu bekalan terbatas

Vietnam pada Rabu (24 Mac) menggesa supaya sumber-sumber vaksin COVID-19 negara itu dipelbagaikan di tengah-tengah isu bekalan global.

Ini sedang negara Asia Tenggara itu memulakan program vaksinasinya awal bulan ini.

“Bekalan-bekalan vaksin COVID-19 bagi VIetnam terjejas oleh kerumitan perkembangan pandemik COVID-19 di dunia,” menurut pemerintah negara itu.

Jabatan Pentadbiran Ubat-Ubatan Vietnam sudahpun meminta syarikat-syarikat pengimport supaya mencuba mendapatkan vaksin-vaksin selamat daripada lebih banyak sumber.

Ini termasuk AstraZeneca, Pfizer, Johnson & Johnson, Sputnik V Rusia, Moderna dan Sinovac China, menurut kenyataan pemerintah Vietnam.

Kempen vaksinasi Vietnam, yang dilancarkan pada 8 Mac, bergantung sepenuhnya kepada bekalan 117,600 dos vaksin AstraZeneca yang diterima pada bulan lalu.

Sejauh ini, negara itu sudah meluluskan vaksin AstraZeneca dan Sputnik.

Awal semalam, UNICEF menyatakan bagi pihak pengongsian vaksin COVAX bahawa penghantaran vaksin COVID-19 ke semua negara termasuk Vietnam, tertangguh disebabkan oleh kelengahan pada proses pengilangan.

“Vietnam sepatutnya menerima 811,200 dos vaksin AstraZeneca dalam masa tiga minggu mendatang,” menurut UNICEF.

“Jumlah ini lebih kecil berbanding yang diumumkan sebelum ini bagi penghantaran pertama.”

Pemerintah negara tersebut sebelum ini menyatakan ia perlu mendapatkan sebanyak 150 juta dos vaksin, menerusi pembelian langsung daripada pengilang dan menerusi skim pengongsian vaksin COVAX.

Minggu lalu, Kementerian Kesihatan Vietnam menyatakan vaksin pertama COVID-19 yang dihasilkan sendiri negara itu, yang dipanggil Nanocovax, dijangka boleh digunakan pada 2022, sambil menambah empat syarikat Vietnam terlibat dalam kajian vaksin dan penghasilannya dan dua daripadanya menjalankan ujian ke atas manusia.

Vietnam dipuji atas usahanya membendung virus COVID-19 menerusi ujian dan pengesanan kontak secara besar-besaran serta kuarantin yang ketat.

Ia mencatat 2,576 kes jangkitan COVID-19 dan 35 kematian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here