Pekebun kecil getah disaran tubuh koperasi

Pekebun kecil getah disaran mewujudkan koperasi di kawasan masing-masing bagi membolehkan mereka bergerak secara berkelompok, yang dilihat lebih menguntungkan berbanding bergerak secara individu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata langkah itu juga akan memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan bagi memastikan golongan berkenaan dapat keluar daripada garis kemiskinan sejajar dengan matlamat yang digariskan di bawah Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030.

Menurutnya Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah dipertanggungjawabkan membantu pekebun kecil menubuhkan koperasi termasuk penyediaan dana pusingan dan latihan.

“Untuk setiap koperasi kita bagi modal pusingan RM140,000 dan yang kedua kita akan beri mesin bernilai RM300,000 untuk menghasilkan getah krep,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kepada 100 pekebun kecil getah Padang Terap, di sini, hari ini.

Menurutnya menerusi mesin yang disediakan, pekebun kecil yang bernaung di bawah koperasi itu nanti dapat menggunakannya untuk menukarkan getah sekerap kepada getah krep yang boleh dijual pada harga yang lebih tinggi.

Mohd Khairuddin berkata sebagai permulaan bantuan itu akan diberikan kepada 20 koperasi termasuk koperasi sedia ada tetapi tidak aktif, yang membabitkan peruntukkan keseluruhan RM6 juta.

“Memang ada koperasi pekebun kecil yang telah ditubuhkan tetapi tidak aktif dan kita sasarkan untuk aktifkan kembali koperasi ini. tetapi masih banyak juga kawasan yang tidak ada koperasi dan kita menyeru mereka mewujudkan koperasi masing-masing,” katanya.

Tambah beliau, setiap koperasi perlu ada sekurang-kurang 40 pekebun kecil untuk beroperasi, namun pihaknya menyarankan bilangan ahli yang lebih besar agar koperasi dapat bergerak dengan lebih berkesan. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here