Warga emas maut motosikal bertembung kereta

Seorang lelaki warga emas maut dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Jalan Kampung Daun Bau-Matang pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata dalam kemalangan berlaku sekitar jam 1.20 tengah hari itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Jalley Sa-Uu, 66, berasal dari Kampung Sagah, Jalan Matang. 

Jelasnya, kemalangan itu melibatkan sebuah motosikal ditunggang mangsa dan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki, 48. 

“Kemalangan berlaku apabila pemandu kereta terbabit dalam perjalanan dari arah Jalan Kampung Sagah menuju ke Bau, manakala warga emas tersebut dari arah Lundu menuju ke Bau, telah bertembung. 

“Kejadian dipercayai berlaku akibat daripada mangsa yang dari arah simpang Jalan Bung Gadong Kampung Daun, Singai tiba-tiba keluar simpang secara mengejut dan telah bertembung dengan kereta terbabit,” katanya dalam satu kenyataan. 

Alexson memberitahu, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia oleh pasukan Paramedik dari Hospital Bau di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan. 

Berikutan itu, katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Bau untuk pemeriksaan lanjut.  

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here