Sambutan Hari Tentera Darat diwarnai dengan Projek Jiwa Murni

Hari Tentera Darat yang disambut pada 1 Mac tahun ini bertemakan ‘Sinergi Tentera Darat Dan Rakyat, Tunjang Kedaulatan Negara’ amat bertepatan dengan signifikan pelaksanaan ‘Projek Jiwa Murni’ bagi membantu mengecat rumah dan mengindahkan kawasan Pulau Ketam dan Kampung Seberang Ramai di Kuala Perlis yang berjaya dilaksanakan oleh warga Rejimen 504 Askar Wataniah.

Penglibatan rejimen berkenaan untuk turut serta bersama-sama warga Batalion Ke-4 Rejimen Renjer DiRaja dalam menjayakan projek transformasi kampung atas inisiatif Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis itu menunjukkan bahawa pihak rejimen juga peka dalam usaha-usaha mensejahtera rakyat.

Kerjasama di antara agensi-agensi di negeri ini bersama dengan pihak rejimen menerusi pelbagai inisiatif juga telah memberi banyak manfaat dalam jaringan strategik organisasi dan mobilisasi rakyat menerusi Askar Wataniah khususnya dengan khidmat sokongan operasi dan pengurusan bencana.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat meninjau kerja-kerja yang telah disiapkan oleh warga Tentera Darat Malaysia di Pulau Ketam dan Kg Seberang Ramai Kuala Perlis baru-baru ini.

Keberangkatan baginda diiringi oleh Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here