KEJADIAN TANAH RUNTUH BUKAN AKIBAT BANJIR-KATA MB PAHANG

Kuantan,Sept 20-

Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail menafikan kejadian tanah runtuh di Kilometer 43.95 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley hingga mengakibatkan penutupan jalan dan kejadian banjir kilat yang tular di media sosial membabitkan daerah Cameron Highlands.

Sebaliknya katanya, lokasi kejadian tanah runtuh berkenaan sebenarnya berada dalam daerah Kinta, Perak dan berpunca daripada kegagalan cerun.

Beliau turut menyatakan rasa kesal dengan tindakan pihak tertentu yang membuat hantaran dalam media sosial mengaitkan kejadian tanah runtuh itu berlaku di Cameron Highlands.

“Kejadian tanah runtuh itu di Kilometer 43.95 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley dan berada dalam daerah Kinta, Perak akibat kegagalan cerun. Susulan itu, laluan berkenaan ditutup sepenuhnya sejak kelmarin.

“Saya juga kesal dengan paparan video di media sosial mengaitkan banjir lumpur yang kononnya turut berlaku di Cameron Highlands, sedangkan ia di tempat lain,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berharap dengan penjelasan ini rakyat tidak terkeliru dengan keadaan yang sebenarnya berlaku khususnya membabitkan kawasan pelancongan popular seperti tanah tinggi Cameron Highlands.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa video dan gambar tanah runtuh serta situasi banjir kilat yang dikatakan berlaku di Cameron Highlands.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here