Penyelam hilang di Pulau Satang belum dijumpai

Penyelam wanita yang dilaporkan hilang dikhuatiri lemas di perairan Pulau Satang, Telaga Air dekat sini pada Sabtu masih belum dijumpai.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, keluasan sektor pencarian semalam adalah  466.68 batu nautika di sekitar perairan Pulau Satang Besar dan pencarian melalui udara juga dilaksanakan meliputi dari perairan Tanjung Sipang ke Tanjung Datu.

“Ops Carilamat ini melibatkan APMM Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan keseluruhan kekuatan seramai 41 pegawai dan anggota.

“Aset terlibat bagi pencarian pada hari ini adalah aset-aset daripada Maritim Malaysia, PPM, PGU, JBPM dan menggunakan dron APM,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, pencarian udara oleh aset PGU Cessna Caravan di sekitar perairan Pulau Satang sepanjang hari ini tidak menemui atau mengesan sebarang objek dan

“Keluarga mangsa turut ikut serta dalam pencarian pada hari ini (semalam) dengan menaiki aset Maritim Malaysia dan pihak PPM telah melakukan selaman di lokasi kejadian namun tiada sebarang petunjuk ditemui.

“Setakat jam 6 petang, petugas Carilamat masih belum menemui sebarang petunjuk berkaitan mangsa. SAR ditangguhkan pada jam 6 petang kerana jarak penglihatan yang terhad dan akan diteruskan semula jam 7 pagi esok,” jelasnya.

Sebelum ini, mangsa Karen Chong (Chong Su Sian), 31, dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti menyelam sekitar jam 4.20 petang di kedudukan 23 batu nautika dari Pulau Satang.

Mangsa dikatakan telah melakukan aktiviti selaman secara solo atau bersendirian dan disyaki hilang setelah hampir satu jam setengah masih tidak timbul di permukaan air.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pada operasi semalam, pasukan bomba terlibat SAR melibatkan pencarian di permukaan di sekitar Pulau Satang oleh anggota unit khas dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya.

“Manakala pihak APMM dan Pasukan Polis Marin melakukan pencarian di laut melalui aset udara dan aset laut,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here