Lapor tinjauan, 69% responden mahu terus bekerja di rumah

Kaji selidik oleh Randstad mendapati sebanyak 69% daripada responden di negara ini lebih suka bekerja dari rumah sehingga liputan vaksin Covid-19 dilakukan secara meluas. Maklumat yang diperolehi oleh agensi penyelesaian sumber manusia terkemuka dunia itu mendapati 73% daripada responden menyatakan mereka berasa tidak selamat untuk berada di tempat kerja melainkan rakan sekerja sudah menerima suntikan vaksin.

Kaji selidik H1 2021 Workmonitor yang dilakukan sebanyak dua kali setahun itu, mengetengahkan sentimen terbaharu di tempat kerja dan persepsi terhadap pasaran pekerjaan tempatan. Menurut Randstad, Malaysia mempunyai peratusan tertinggi untuk mereka yang suka bekerja dari rumah berbanding beberapa negara jiran lain seperti Singapura, China dan Hong Kong yang masing-masing dengan 67%, 45% dan 48%.

Dalam kenyataan, ia berkata lebih tujuh orang daripada 10 responden di Malaysia berkata mereka berasa tidak selamat melainkan orang di sekeliling telah mendapat suntikan Covid-19, yang 12% lebih tinggi berbanding Singapura (61%). Manakala 55% daripada responden yang bekerja di tempat kerja ketika pandemik berkata mereka sentiasa merasakan diri berdepan risiko jangkitan.

Hampir tiga daripada lima (59%) melihat produktiviti mereka terjejas kerana tertekan sekiranya akan dijangkiti di tempat kerja sekali gus memberi kesan terhadap kesihatan orang tersayang. Walaupun terdapat kebimbangan mengenai kesihatan dan keselamatan, kurang satu daripada dua responden (47%) berkata majikan mereka memberi insentif untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Fahad Naeem, ketua operasi di Randstad Malaysia, berkata: “Ia bukanlah satu perkara yang mengejutkan apabila orang ramai meletakkan kesihatan dan keselamatan mereka sebagai keutamaan ketika pandemik. Dengan berbuat demikian, pekerja juga mengharapkan majikan mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi kesihatan dan keselamatan mereka. Paling minimum, syarikat harus melaksanakan prosedur kesihatan dan keselamatan yang ketat dan membenarkan mereka yang boleh bekerja dari rumah untuk berbuat demikian.

Fahad berkata majikan harus memperkukuhkan imuniti kelompok di tempat kerja secara aktif bagi menggalakkan pekerja mengambil vaksin. Biarpun terdapat potensi implikasi kesihatan dan keselamatan serta kenaikan mendadak kes Covid-19 di Malaysia, namun 64% responden mengatakan majikan mahu mereka bekerja di tempat kerja. Bagaimanapun, hanya 49% daripada responden bersetuju bahawa pekerjaan mereka tidak boleh dilakukan dari jauh.

Naeem berkata: “Walaupun banyak syarikat mahu kembali kepada keadaan pra-pandemik tetapi tidak ada keperluan untuk terburu-buru terutamanya ketika negara masih lagi menyaksikan peningkatan kes Covid-19. Pada masa sama, syarikat harus bersedia bagaimana untuk kembali bekerja selepas wabak ini. Kita sedia maklum bahawa ramai pekerja merasakan mereka lebih produktif dan kurang tertekan apabila bekerja dari rumah, jadi terdapat harapan yang jelas di kalangan pekerja untuk melakukan opsyen bekerja secara hibrid atau secara jauh di rumah.

Sebab itu penting untuk pemimpin membayangkan masa hadapan di tempat kerja yang akan memacu keperluan untuk mewujudkan dasar pekerjaan baharu, pelaburan digital dan mengkaji semula rekaan pejabat bagi membolehkan pelaksanaan kerja secara hibrid dilakukan dan meningkatkan produktiviti dengan lebih tinggi. Kaji selidik itu diadakan pada Mac di semua 34 pasaran di seluruh dunia membabitkan jumlah minimum 400 responden bagi setiap pasaran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here