ANWAR CALON TUNGGAL PERDANA MENTERI DARI PH

Kuala Lumpur, Ogos 18-

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sah muncul sebagai calon tunggal Perdana Menteri baharu dari blok Pakatan Harapan (PH) Plus.

Tiga ahli Parlimen masing-masing dari Parti Warisan Sabah (Warisan, DAP dan PKR memaklumkan melalui Twitter, mereka sudah menandatangani surat akuan sokongan kepada Anwar.

Ahli Parlimen Sepangar Datuk Mohd Azis Jamman berkata, Warisan sudah memenuhi janjinya dan menandatangani surat akuan menyokong Anwar.

“Ini untuk memastikan blok pembangkang yang ada 105 sokongan Ahli Parlimen tidak terjejas.

“Bola kini berada di gelanggang Anwar untuk mendapatkan sokongan mencukupi,” katanya.

Istana Negara sebelum ini mengarahkan semua Ahli Parlimen menamakan seorang calon Perdana Menteri baharu dan surat akuan sokongan itu perlu diserahkan untuk perhatian Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong Kolonel Datuk Nazim Mohd Alim sebelum jam 4 petang, hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata, sokongan beliau adalah sebulat suara sebagaimana diputuskan oleh parti dan sekutu.

“Biarpun melalui PDF atau WhatsApp, sokongan saya adalah sebulat suara sebagaimana yang diputuskan oleh parti dan pakatan parti.

“Encik Lim Lip Eng Kepong menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri kesembilan,” katanya.

Ahli Parlimen Kapar dari PKR Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid turut memaklumkan sudah menandatangani surat akuan sokongan kepada Anwar.

“Saya telah sempurnakan titah Tuanku untuk mencalonkan satu nama dari kalangan Ahli Dewan Rakyat sebagai calon Perdana Menteri Malaysia kesembilan.

“Warkah akuan bersumpah tersebut telah dihantar melalui WhatsApp dan emel kepada Istana Negara pada 12 tengah hari tadi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here