Sokongan PN untuk Ismail Sabri adalah bersyarat, kata Muhyiddin

Sokongan Perikatan Nasional kepada Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri adalah bersyarat, kata Muhyiddin Yassin. Pengerusi PN itu berkata, keputusan itu dibuat demi menjamin kesinambungan dasar-dasar kerajaan PN sebelum ini yang sedang menumpukan kepada usaha memerangi Covid-19 dan memulihkan negara sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya umum bagi mengembalikan mandat kepada rakyat.

Semua 50 Ahli Dewan Rakyat dari parti-parti gabungan PN, iaitu 31 Ahli Dewan Rakyat Bersatu, 18 (PAS) dan 1 (STAR) telah menyerahkan Akuan Berkanun ke Istana Negara pada 18 Ogos 2021 menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri. Empat Ahli Dewan Rakyat bebas Pro-PN juga telah berbuat demikian. Saya juga telah berunding dengan pimpinan parti GPS dan PBS yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini untuk mengambil ketetapan yang sama,” katanya dalam kenyataan.

Muhyiddin berkata, keputusan itu juga bermakna PN lebih mengutamakan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat berbanding politik dendam dalam persaingan merebut kuasa. Katanya, apabila berhadapan dengan situasi krisis, ahli politik mesti berjiwa besar (magnanimous) demi kepentingan rakyat dan negara. Sekiranya (Imail Sabri) dilantik sebagai perdana menteri oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, beliau hendaklah memastikan Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti adalah terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

“Kerajaan PN di bawah pimpinan beliau juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan,” katanya. Muhyiddin berkata, diharapkan proses pelantikan perdana menteri yang baharu dapat berjalan lancar dan dimuktamadkan dalam masa terdekat menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan. Beliau berkata, selaku Pengerusi PN, beliau akan meneruskan khidmat bakti kepada rakyat dan mempersiapkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 apabila tiba masanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here