BANTUAN NADMA RM 5,000 BAGI KELUARGA MANGSA KORBAN KEPALA AIR.

Petaling Jaya, Ogos 20-

Keluarga mangsa yang terkorban akibat tragedi kepala air di Yan dan Kuala Muda akan menerima bantuan tunai sebanyak RM5,000, kata Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau turut mengumumkan bantuan tunai RM500 bagi setiap keluarga yang terkesan dengan bencana itu.

Katanya, bantuan itu diputuskan selepas kerajaan negeri mengadakan perbincangan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), malam tadi.

“Bantuan ini adalah untuk membantu kerja-kerja penggantian sebahagian peralatan asas rumah dan pembersihan.

“Berdasarkan laporan awal, saya dimaklumkan jumlah rumah yang terjejas dalam tragedi ini sekitar 800 buah di Yan dan sekitar 200 rumah di Kuala Muda (Tupah),” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun beliau berkata, bantuan membaiki kerosakan bangunan bukan kediaman dan bangunan kerajaan masih dalam perbincangan.

Sanusi berkata, urusan pendaftaran keluarga yang terjejas bagi menerima bantuan terbabit akan diuruskan oleh Pejabat Daerah Yan dan Pejabat Daerah Kuala Muda.

“Sebagai langkah awal, keluarga terbabit dinasihatkan membuat laporan polis dan mendaftarkan nama dan maklumat diri dengan Pejabat Daerah masing-masing,” katanya.

Beberapa kawasan di daerah Yan dan Kuala Muda terjejas akibat banjir disebabkan fenomena kepala air dalam kejadian petang Rabu yang setakat ini mengorbankan empat nyawa sementara dua masih hilang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here