Lelaki sakit mental tikam bapa direman seminggu

Lelaki menghidap masalah mental yang menikam bapanya berulang kali menggunakan pisau pemotong sayur di Pasar Bachok, Bachok, semalam, direman seminggu, bermula hari ini.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Mohd Dinie Syazwan Ab Shukor, terhadap lelaki berusia 28 tahun itu yang juga penganggur di Mahkamah Majistret Bachok, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bachok, Mohamad Ismail Jamaluddin, berkata suspek ditahan di rumahnya sebaik polis menerima laporan berhubung kejadian.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, menurut laporan Harian Metro. Terdahulu, suspek tiba di perkarangan mahkamah diiringi polis dengan memakai pakaian lokap berwarna ungu pada 9.10 pagi.

Dalam kejadian 11 pagi, suspek menikam bapanya yang berusia 66 tahun dipercayai kerana marah anak saudaranya menangis. Mangsa yang ditikam berkali-kali dengan pisau pemotong sayur luka di leher, bahagian atas kepala, telinga kiri selain tapak tangan kiri.

Suspek menerima rawatan sebagai pesakit mental di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sejak lima tahun lalu dan mengambil ubat setiap enam bulan.Suspek juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here