Pembangkang tidak akan ragu-ragu untuk mempercayai Ismail sekiranya agenda pro-rakyat diberi keutamaan, kata Anwar

Pakatan Harapan (PH) tidak akan mempersulitkan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat jika kerajaan terbuka mengutamakan isu rakyat.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim memberikan jaminan itu, sekiranya kerajaan dan pembangkang saling terbuka bekerjasama berhubung isu rakyat sepertimana keterbukaan perdana menteri berjumpa pimpinan pembangkang hari ini.

Kita beritahu kalau suasana begini dan program agak pro rakyat kita tak akan persulitkan (usul undi percaya), katanya kepada pemberita selepas lebih sejam mengadakan pertemuan dengan Ismail di Perdana Putra hari ini.

Anwar berkata demikian ketika ditanya sama ada PH akan mengadakan menyokong Ismail jika undi percaya dibawa di Parlimen nanti. Anwar turut memaklumkan kedatangan pemimpin PH untuk bertemu perdana menteri juga tidak menyentuh soal jawatan Kabinet perlu diisi wakil pembangkang.

“(Jawatan wakil pembangkang dalam Kabinet) tidak berbangkit, saya tidak mahu ia dijadikan isu, kita tak datang untuk meminta jawatan untuk kita, kita bincang khusus soal ekonomi dan Covid-19,” katanya sambil memaklumkan pihaknya juga akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan isu sokongan kepada perdana menteri dan kedudukan negara supaya ia lebih terkawal dan tenang.

Anwar turut memaklumkan isu keterlibatan wakil pembangkang dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) juga tidak dibincangkan dalam pertemuan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Anwar turut memaklumkan keterbukaaan perdana menteri bertemu ketua parti dalam PH juga adalah satu permulaan baik terutamanya dalam membincangkan soal Covid-19 dengan lebih berkesan dan isu ekonomi rakyat.

“Jadi untuk mententeramkan dan mengurangkan suhu politik itu kita setuju, tapi kita berikan cadangan supaya isu pro rakyat diberi keutamaan. Kalau program pro rakyat, program tangani Covid-19 lebih berkesan, tidak ada masalah untuk kita jamin keadaan lebih terkawal.

“Saya juga ucap terima kasih, dia Ismail ini wakil Umno dan dia ajak bincang dengan Anwar dan DAP, saya gurau dengan dia bukan ke ‘no Anwar, no DAP, tapi ini sudah nampak berubah, dia kata kerana semangat titah Agong untuk kerjasama semua pihak,” katanya. Terdahulu tiga pemimpin utama PH iaitu Anwar, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng bertemu Ismail di Putrajaya bermula jam 2 petang.

Ahad lalu, Ismail dalam ucapan sulungnya sebagai perdana menteri mempelawa pembangkang menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19. Beliau turut merayu semua Ahli Parlimen mengetepikan perbezaan dan bekerjasama untuk menyelamatkan “Keluarga Malaysia”.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here