Waktu isu 1MDB lagi saya lawan, tegas Abdul Hamid

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, perancangan untuk mendedahkan campur tangan politik dalam Cawangan Khas telah berlaku sejak beberapa bulan sebelum beliau bersara.

Bahkan, tegasnya, sejak skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), beliau bersuara kerana menentang penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan wang.

“Dah berlaku beberapa bulan, dekat-dekat saya nak bersara lagi panas. Maknanya kalau dapat cepat, cepat lagi nak kawal, nak kuasai, itulah niatnya.

 “Prinsip saya jelas sama seperti 2015 dahulu, waktu 1MDB saya lawan atas prinsip tidak boleh ada penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, penindasan.

“Jadi, 2021 ini kalau saya dapat lihat ada kecenderungan untuk melakukan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, menindas orang yang tidak bersalah, saya akan ambil tindakan sama ada saya hebahkan dan dedahkan”.

Sehubungan itu, Abdul Hamid berkata, beliau bersedia pada bila-bila masa untuk dirakam keterangan berhubung pendedahannya berkaitan campur tangan politik dalam Cawangan Khas.

Menurutnya, tidak jadi sebarang masalah sekiranya pihak berkuasa memanggilnya untuk dirakam keterangan.

“Saya tengok perkembangan, kalau beliau (Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin) ada nak nafi ke apa, kalau nak saya datang bagi keterangan, saya datanglah.

“Pada saya biarlah kepimpinan Bukit Aman siasat, nak tentukan kes jenayah ke terpulang kepada mereka.

“Apa pun saya nak halang perancangan menguasai Cawangan Khas untuk digunakan bagi kepentingan politik, itulah saya dedahkan,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Abdul Hamid turut mendakwa terdapat usaha untuk menguasai Cawangan Khas bagi kepentingan politik selain mendedahkan wujudnya campur tangan menteri terhadap pelantikan pegawai kanan polis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here