Ujian klinikal Ivermectin, nasihat doktor kerajaan merujuk CRM

Kerajaan meminta doktor swasta mendapatkan nasihat Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) sekiranya mereka berminat melakukan percubaan klinikal terhadap Ivermectin, iaitu ubat yang dikatakan boleh merawat Covid-19. CRM adalah sebuah pusat sehenti bagi memudahkan pelaksanaan penyelidikan seperti itu dilakukan dan ia juga sebuah syarikat ditubuhkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Dr Roshayati Mohamad Sani berkata, CRM akan membantu pengamal perubatan am (GP) untuk menentukan kemungkinan dalam melaksanakan percubaan klinikal terbabit. Bagi keperluan regulatori, pemohon mesti merujuk Garis Panduan Malaysia untuk permohonan Lesen Import Percubaan Klinikal (CTIL) dan Pengecualian Percubaan Klinikal (CTX), katanya. Garis panduan itu boleh dimuat turun menerusi laman sesawang NPRA.

CTIL akan membolehkan pemohon mengimport produk tidak berdaftar untuk percubaan klinikal dan CTX diperlukan sekiranya pemohon ingin mengeluarkan ubat baharu untuk tujuan percubaan klinikal.

Roshayati berkata, CRM boleh memberi penilaian terhadap kemungkinan percubaan klinikal Ivermectin dalam tempoh 14 hari bekerja.Bulan lalu, dua kumpulan profesional kesihatan berkata, mereka bimbang mengenai penjualan Ivermectin secara meluas di negara ini. Persatuan Farmasi Malaysia dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata, kajian menunjukkan kemungkinan keberkesanan ubat berkenaan terhadap Covid-19 adalah rendah.

Dr Koh Kar Chai, bakal presiden MMA yang baharu berkata, lebih banyak kesedaran perlu diberikan dalam kalangan GP bahawa Ivermectin tidak terbukti secara konsisten untuk menguruskan Covid-19. Koh berkata, ketika pandemik, ramai yang beralih kepada Ivermectin “dalam keadaan putus asa” biarpun terdapat polemik berhubung ubat berkenaan.

“Oleh itu, usaha secara bersepadu harus dilakukan untuk menunjukkan kepada doktor ini bahawa Ivermectin bukan petunjuk dalam menguruskan penularan Covid-19 dan mereka tidak seharusnya memberikan preskripsi ubat itu sedangkan mereka tahu ia melanggar garis panduan dan undang-undang.

Para doktor mempunyai pilihan untuk menggunakan ubat ‘luar-label’ itu sekiranya ingin melakukannya untuk tujuan percubaan klinikal. Namun Koh berkata, mereka perlu menanggung kesan sampingan yang akan dihadapi oleh pesakit. Dr Roslina Abdul Manap, perunding kanan respiratori Universiti Kebangsan Malaysia (UKM) bersetuju dengan pandangan Koh bahawa para doktor perlu membuat permohonan untuk penggunaan ubat ‘luar-label’ itu.

Katanya, tanggungjawab terhadap sebarang kesan sampingan akan diletakkan pada doktor yang memberikan preskripsi itu dan pesakit yang bersetuju melakukan percubaan terbabit. Para doktor sering menggunakan pilihan penggunaan ubat ‘luar-label’ dalam situasi klinikal yang lain tetapi saya percaya semua pengamal perubatan harus mematuhi undang-undang ditetapkan di negara ini katanya.

Ivermectin menarik perhatian dunia susulan terdapat beberapa kajian kes dan percubaan klinikal yang menunjukkan keputusan memberangsangkan dalam merawat Covid-19, namun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak menyarankan penggunaannya di luar percubaan seperti itu. Pada Jun, KKM berkata, hospital dibenarkan memohon kepada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk menggunakan Ivermectin di ‘luar label’, termasuk merawat pesakit Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here