Pesakit Covid-19 mengaku ‘diculik’ dari hospital kini kritikal

Seorang pesakit Covid-19 yang mendakwa “diculik” termasuk “dipaksa” dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP), George Town, disahkan berada dalam keadaan kritikal, selain berisiko menyebarkan virus itu jika dibenarkan pulang.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Ma’arof Sudin, berkata pesakit itu telah dimasukkan ke wad ICU selepas disahkan mengalami Covid-19 tahap empat. Pemeriksaan awal menunjukkan pesakit mengalami penurunan tahap oksigen yang sangat membimbangkan dan rawatan terapi oksigen telah dimulakan. Keadaan pesakit semakin kritikal sehingga kadar oksigen dalam darah hanya boleh distabilkan dengan menggunakan mesin bantuan pernafasan iaitu ventilator, katanya menurut laporan Kosmo.

Terdahulu, tular di media sosial sejak semalam mengenai seorang pesakit Covid-19 di ICU HPP yang mendakwa dirinya diculik dan dipaksa menjalani rawatan di wad ICU hospital berkenaan walaupun keadaan kesihatannya stabil. Ma’arof berkata, pegawai perubatan pakar perubatan rapi dan ICU telah memaklumkan kepada pesakit serta ahli keluarganya mengenai keadaan pesakit yang berada pada tahap kritikal.

Pihak hospital juga telah berulang kali menjelaskan kepada pesakit serta ahli keluarga mengenai risiko yang boleh membahayakan dirinya sekiranya dia tidak membenarkan rawatan dijalankan. Namun, pesakit masih tidak bersetuju dengan rawatan disyorkan dan memohon untuk dibenarkan pulang atas risiko sendiri, katanya.

Beliau berkata, pihak hospital masih memantau dan menempatkan pesakit di ICU walaupun dia enggan menerima rawatan terapi oksigen dan alat bantuan pernafasan memandangkan keadaannya yang kritikal. Dalam pada itu, katanya, pihak HPP juga menafikan bahawa pesakit tidak diberi makanan ketika berada di ICU kerana pihaknya memberikan makanan berbentuk cecair seperti susu bagi memudahkan penghadaman dan mengelakkan berlaku komplikasi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here