Selangor membenarkan kontrak perkahwinan bermula esok

Selangor membenarkan majlis akad nikah berlangsung di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Pejabat Agama Islam Daerah dan masjid, bermula esok. JAIS menerusi perkongsian dalam Facebooknya memaklumkan majlis itu boleh dilangsungkan setiap hari, tetapi kehadiran terhad kepada pasangan pengantin dan wali, manakala individu lain, termasuk jurugambar tidak dibenarkan.

Jabatan itu berkata, mereka yang lengkap vaksinasi berdasarkan kad atau sijil digital vaksinasi perlu memenuhi kriteria iaitu, melepasi 14 hari dari tarikh suntikan kedua bagi vaksin Pfizer, AstraZeneca serta Sinovac, manakala vaksin Johnson & Johnson serta CanSino adalah melepasi 28 hari.

Bagi yang belum lengkap vaksinasi, ujian saringan “Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction” (RT-PCR) perlu dilakukan ke atas pengantin serta wali dalam tempoh 72 jam dari waktu pelaksanaan majlis dan mengemukakan keputusan ujian kepada pendaftar sebelum majlis dilaksanakan. JAIS mengingatkan pihak terlibat mematuhi ketetapan semasa Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan kerajaan negeri berkaitan langkah keselamatan.

Jika terdapat pelanggaran ketetapan semasa, Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk atau Pegawai Tadbir Agama boleh menangguh atau membatalkan majlis akad nikah. Tindakan tegas wajar diambil jika ada mana-mana individu atau pihak didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan semasa yang ditetapkan mengikut perkongsian JAIS tersebut. Sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi talian 03-55143400/03-55143600 atau e-mel: buuk@jais.gov.my.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here