Kehabisan bekalan makanan- penduduk Taman Semarak berang

Penduduk Taman Semarak di Tawau yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berang lantaran tidak dibenarkan  menerima kiriman bekalan makanan daripada orang luar.

Difahamkan penduduk di sana sudah mulai kehabisan bekalan makanan harian selepas PKPD dikuatkuasakan sejak 26 Oktober yang lalu.

Menurut maklumat yang diterima MalaysiaGazette, penduduk di kawasan berkenaan juga tidak berpuas hati kerana kekeliruan pelaksanaan kiriman bekalan makanan yang dilihat berubah-ubah sehingga menyusahkan mereka.

Jika pada mulanya mereka difahamkan bahawa Rukun Tetangga (RT) akan digerakkan membantu penduduk yang terjejas kehabisan makanan dan menjadi perantara pengirim daripada kawasan luar, namun kemudian ketetapan itu berubah.

Sehingga hari ini belum ada bantuan makanan yang diterima oleh penduduk berkenaan.

Akibat kekeliruan ini, penduduk lokaliti berkenaan menyuarakan ketidakpuasan hati mereka dengan berkumpul di hadapan kawat berduri.

Untuk rekod, pada 24 Oktober yang lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob mengumumkan pelaksanaan PKPD di Taman Semarak di Tawau membabitkan lebih kurang 3,294 rumah dan 16,470 penduduk sebagai langkah  membendung peningkatan kes Covid-19 di kawasan berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here