PASANGAN SUAMI ISTERI MENANAM POKOK GANJA DI BALKONI

Petaling Jaya, Sept 15-

Sepasang suami isteri yang menanam dua pokok ganja di balkoni rumah mereka, ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Ayer Itam, Georgetown, Pulau Pinang semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Soffian Santong berkata, pasangan itu dipercayai memperoleh biji benih menerusi ganja yang dibeli suspek dan ditanam sejak kira-kira lima bulan lalu.

“Siasatan lanjut mendapati pasangan yang bekerja di sebuah stesen minyak itu menanam sendiri pokok ganja itu selepas percubaan menyemai biji benih berjaya. Kita juga dapati pokok berkenaan dalam keadaan subur dan dijaga rapi,”. 

Dalam operasi kira-kira 1.30 pagi itu, polis menahan suspek lelaki yang berusia 38 tahun terbabit di bawah kondominium itu bersama dua paket plastik syabu seberat 12.61g dan sepaket plastik ganja seberat 4.2g yang bernilai RM1,461.

Katanya, polis turut menemui 13 paket lutsinar mengandungi bahan disyaki ganja seberat 163g yang bernilai RM8,150 dan peralatan menghisap dadah di ruang tamu rumah suspek.

“Selepas menahan suspek lelaki ini, polis menyerbu kondominium didiami suspek dan menahan isteri suspek yang berusia 36 tahun.

“Pemeriksaan di atas lantai balkoni menemui dua pokok ganja bernilai RM1,180 setinggi 19cm dan 40cm di dalam dua pasu.”

Soffian berkata, polis turut menyita sebuah Proton Exora bersama dadah berkenaan yang bernilai RM10,791.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki itu positif ganja dan kedua-duanya direman enam hari mulai hari ini untuk siasatan lanjut.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a), Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1) dan Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here