Gangguan air 1,000 kawasan di Selangor tengah bulan ini

Hampir 1,000 kawasan di Selangor dijangka mengalami gangguan bekalan air apabila kerja penambahbaikan dan penyenggaraan akan menyebabkan sebuah loji rawatan air (LRA) utama ditutup.

Air Selangor berkata, penutupan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) yang dijangka bermula 13 hingga 16 Okt ini akan menjejaskan bekalan air di 998 kawasan di negeri itu.

Ia termasuk daerah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman berkata, kerja penambahbaikan dan penyenggaraan itu dijadualkan pada 2019 dan tahun lalu, tetapi terpaksa ditangguhkan susulan insiden pencemaran air yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual berskala besar.

Katanya, tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas akan berbeza-beza, bergantung kepada jarak premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan air.

Beliau menasihatkan pengguna supaya menyimpan air mencukupi untuk tempoh gangguan bekalan dan 105 lori tangki air akan disediakan untuk kegunaan premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Air Selangor juga akan menyediakan 18 pili air awam mulai 14 hingga 16 Okt serta stesen pengisian air setempat untuk pengguna komersial yang menggunakan lori tangki air sendiri. Katanya, maklumat akan disediakan kepada pengguna dari semasa ke semasa melalui media sosial Air Selangor atau hotline 15300.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here