Rentas negeri: Pastikan anak kecil dilindungi daripada Covid: Pakar

Keputusan kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri bermula 11 Oktober lalu bagi mereka yang lengkap vaksinasi Covid-19, adalah antara khabar yang paling ditunggu-tunggu oleh masyarakat yang rata-rata tidak sabar untuk pulang ke kampung atau pergi bercuti.

Jumlah kenderaan di atas jalan yang meningkat secara mendadak, khususnya pada hujung minggu lalu, adalah bukti ahli masyarakat memanfaatkan sepenuhnya “kebebasan” yang diberikan oleh kerajaan itu selepas hampir dua tahun pergerakan dibataskan demi mengekang penularan virus maut itu.

Namun, dalam keghairahan menikmati kelonggaran itu, perlu diingat bahawa ancaman Covid-19 belum berakhir, sementelah masih ada kelompok yang belum menerima vaksin, khususnya kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

Risiko yang dihadapi oleh kelompok usia ini sudah acap kali dibangkitkan oleh pakar, namun hingga kini kerajaan belum membuat ketetapan berhubung isu pemvaksinan untuk golongan itu. Justeru, sementara menantikan keputusan kerajaan, terserah kepada ibu bapa dan penjaga untuk memastikan anak kecil mereka dilindungi daripada dijangkiti Covid-19.

Mengulas perkara itu, pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam Dr Hanafiah Bashirun menasihati orang ramai supaya mengehadkan pergerakan dan tidak sewenang-wenangnya berkunjung ke pelbagai lokasi. Tujuan utama dibenarkan merentas negeri adalah bagi mereka yang sudah lama tidak menziarahi orang tua supaya dapat pulang ke kampung, tetapi janganlah sebelum pulang ke kampung kita pergi bercuti di sana sini.

Jika terlalu banyak tempat persinggahan, kita bukan sahaja boleh merisikokan anak-anak, terutamanya yang belum divaksinasi, tetapi berkemungkinan membawa pulang virus Covid-19 yang akhirnya boleh menjangkiti orang tua kita katanya. Antara yang beliau cadangkan ialah membawa bekal makanan dari rumah supaya tidak perlu singgah di kedai makan semasa dalam perjalanan pulang ke kampung.

“Begitu juga jika singgah di mana-mana seperti surau dan masjid, sentiasa jaga penjarakan fizikal dan semua ahli keluarga termasuk anak-anak kecil, wajib sanitasi tangan. SOP ini adalah paling asas untuk mencegah jangkitan Covid-19,” tegasnya. Dr Hanafiah turut menggalakkan individu dewasa melakukan ujian kendiri secara berkala sebagai saringan awal sepanjang berada di kampung, sekali gus melindungi diri dan juga ahli keluarga yang lain daripada dijangkiti virus maut itu.

Sekalipun kita mandi atau sanitasi tangan sebelum bersentuhan dengan ahli keluarga yang lain, belum tentu dapat melindungi orang lain, terutama kanak-kanak daripada virus itu,” katanya. Dr Hanafiah juga mencadangkan orang ramai menyediakan kit ujian kendiri yang disifatkannya lebih murah dan mudah berbanding ujian calitan di klinik. Sekiranya ada seorang didapati positif, ahli keluarga lain pula boleh membuat di klinik kesihatan untuk mengesahkan status kesihatan mereka, katanya.

Bagi Timbalan Pengarah (Klinikal) Hospital Universiti Teknologi MARA Prof Madya Dr Ahmad Izuanuddin Ismail pula, langkah terbaik untuk mengelakkan anak daripada dijangkiti Covid-19 ialah tidak membawa mereka ke kawasan tumpuan ramai kerana golongan itu amat cenderung mendapat jangkitan kuman pada saluran pernafasan dan paru-paru.

Apatah lagi katanya, agak sukar untuk memastikan kanak-kanak, khususnya yang berusia lima tahun ke bawah, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan jangkitan Covid-19 seperti membasuh tangan dan menjaga jarak fizikal, selain mereka juga tidak digalakkan memakai pelitup muka kerana boleh menyebabkan kesukaran bernafas.

Walaupun Covid-19 telah biasa dalam kehidupan kita, ibu bapa perlu ingat masih ada kuman atau virus lain yang berada dalam persekitaran dan mudah menjangkiti kanak-kanak, selain kesannya pun ada masa lebih teruk daripada Covid-19, seperti virus influenza dan pneumokokal, katanya kepada Bernama.

Bersandarkan pada senario itu, Dr Ahmad Izuanuddin yang merupakan pakar perubatan dalaman (umum) dan perubatan respiratori, menyarankan ibu bapa memastikan bayi dan anak-anak kecil, khususnya yang berusia bawah lima tahun, sudah dilengkapi pelalian yang ditetapkan di bawah Program Imunisasi Kebangsaan (NIP).

NIP katanya boleh melindungi golongan itu daripada penyakit berkaitan pernafasan, terutamanya influenza, radang paru-paru (pneumonia), batuk kokol dan . Biasanya vaksin ini (berkaitan penyakit pernafasan) diberikan kepada bayi semasa berusia dua, tiga dan lima bulan serta dos ketika berumur 18 bulan. Vaksin influenza dan pneumokokal bukan vaksin wajib tetapi digalakkan pengambilannya, jelas beliau. Dr Ahmad Izuanuddin turut menasihati ibu bapa yang membawa anak-anak mereka merentas negeri supaya segera melakukan ujian Covid-19 ke atas si anak sekiranya menunjukkan gejala seperti demam dan selesema

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here