Gunung berapi Sinabung di daerah Karo, Sumatera Utara, Indonesia kembali meletus pagi tadi, mengeluarkan abu dan asap berwarna kelabu setinggi 5 km.
Menurut kenyataan Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Geologi Indonesia, letusan itu berlaku pada 10.16 pagi waktu Indonesia Barat dan asap serta abu itu menghala ke arah timur dan tenggara pulau Sumatera.
Pusat itu meletakkan Gunung Sinabung berketinggian 2,475 meter itu berstatus siaga (berjaga-jaga) atau peringkat tiga.
“Masyarakat setempat dan pengunjung diminta tidak melakukan aktiviti dalam radius lima kilometer dari puncak Gunung Sinabung,” menurut kenyataan itu.
Pada 8 Ogos lalu, Gunung Sinabung meletus mengeluarkan debu sehingga mencapai ketinggian dua km.
Agensi Gunung Berapi Kebangsaan memaklumkan, debu berkenaan menuju ke bahagian timur kawah gunung berapi.
Hujan debu gunung berapi yang lebat mengundang bahaya kepada kawasan di cerun gunung dan bahan dari gunung mungkin akan tersebar jauh oleh angin di kawasan luar cerun.
Gunung itu tidak pernah meletus sejak tahun 1600, namun kembali aktif pada 2010 dan letusan terakhir dilapor berlaku pada Jun tahun lalu dengan mengeluarkan debu setinggi tujuh km.