Ibu bapa perlu lebih peka pergerakan anak, elak terlibat kesalahan trafik

Polis Pahang menasihatkan ibu bapa untuk lebih peka dengan pergerakan anak-anak terutamanya golongan remaja supaya terhindar daripada melakukan kesalahan trafik khususnya berkaitan motosikal dan basikal. Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata kebanyakan kes berkaitan kesalahan trafik di sini adalah melibatkan golongan remaja antaranya menunggang motosikal tanpa lesen, melakukan aksi berbahaya seperti willie selain kegiatan basikal lajak.

Ibu bapa perlu lebih prihatin dan beri perhatian jika anak remaja mereka tiada di rumah dan belum pulang walaupun sudah 12 tengah malam. Sensitiviti dan kecaknaan remaja terhadap bahaya, peraturan serta keselamatan jalan raya mungkin kurang.Mereka lihat aksi berbahaya yang dilakukan menggunakan motosikal atau basikal sebagai suatu perkara yang mencabar menyebabkan ibu bapa perlu lebih bertanggungjawab dalam mengetahui aktiviti dan keberadaan anak-anak, katanya.

Ramli berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) secara bersepadu di Batu 3 Jalan Kuantan-Gambang di sini malam tadi, yang turut dihadiri Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh dan Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu.Operasi itu melibatkan 135 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang.

Dalam operasi itu, Ramli berkata sebanyak 155 saman dikeluarkan polis dan JPJ atas pelbagai kesalahan seperti tidak mempunyai lesen memandu yang sah, modifikasi kenderaan yang tidak dibenarkan serta menunggang motosikal secara berbahaya. Kami turut menyita lima motosikal untuk siasatan lanjut. Kebanyakan mereka yang terlibat dengan kesalahan malam ini adalah golongan remaja yang mungkin dalam perjalanan pulang ke rumah dari bandar Kuantan.

Selain itu, seorang lelaki ditahan kerana melakukan aksi willie manakala dua lagi lelaki ditahan kerana disyaki menggunakan dadah jenis syabu dan ganja. JAS Pahang juga mengeluarkan satu saman terhadap pemilik kenderaan kerana melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, katanya. Dalam perkembangan berkaitan, Ramli juga berkata pihaknya akan terus melaksanakan SJR dan pemeriksaan rambang di lokasi strategik terutamanya di lokasi tumpuan bagi memastikan pematuhan undang-undang trafik dan prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here