Mahkamah larang laporan kes Suu Kyi

YANGON: Mahkamah mengeluarkan perintah larangan bercakap (gag order) terhadap peguam Pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi. Sehubungan itu, butiran keterangan Suu Kyi, yang memberi keterangan di mahkamah buat pertama kali berhubung beberapa kes terhadapnya, tidak dapat didedahkan kepada umum.

Sejak minggu lalu, kesemua peguam mewakili kes Suu Kyi dilarang memberikan maklumat lanjut mengenai proseding berkenaan di luar mahkamah termasuk kepada media. Langkah itu diambil mengikut Seksyen 144 Kod Prosedur Jenayah, perundangan yang digunakan dengan meluas sejak zaman penjajah British lagi, bertujuan menangani kes kecemasan yang mengancam keselamatan awam.

Sidang mahkamah juga ditutup untuk wartawan dan orang awam, pendakwa raya tidak boleh memberi kenyataan dan media yang dikawal kerajaan juga tidak melaporkan secara langsung mengenai perbicaraan itu. Jurucakap tentera kerajaan, Jeneral Zaw Min Tun, pada awal bulan lalu selepas perintah mahkamah itu dilaksana, berkata ia diambil untuk mengelak penyebaran maklumat palsu yang mungkin mengkucar kacirkan negara.

Satu sumber rapat perbicaraan yang enggan dikenali mengesahkan bahawa Suu Kyi memberi keterangan semalam di mahkamah khas di ibu negara, Naypyitaw, namun dia tidak dapat memberikan butirannya. Mahkamah mendengar keterangan berkaitan pertuduhan menghasut, ditakrif sebagai menyebarkan berita palsu atau menghasut yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan jika bersabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun.

Defendan bersama Suu Kyi dalam kes itu ialah Win Myint, yang juga presiden dalam kerajaannya serta bekas Datuk Bandar Naypyitaw, Myo Aung. Peguam mereka berulang kali cuba untuk menggugurkan kes tetapi gagal atas tuduhan menghasut.

Pihak pendakwaan mengemukakan tuduhan yang terdiri daripada kenyataan disiarkan di laman Facebook parti Liga Demokrasi Nasional (NLD) pimpinan Suu Kyi. Peguam bagi Suu Kyi dan Win Myint menjelaskan, tiada tanggungjawab dalam kritikan terhadap rampasan kuasa itu serta meminta ia dibantah secara meluas, ekoran mereka sudah pun ditahan ketika itu.

Suu Kyi ditahan sejak 1 Februari lalu apabila junta tentera merampas kuasa dan menggulingkan kerajaannya sebelum dapat memulakan penggal pentadbiran lima tahun kedua selepas menang besar dalam pilihan raya November lalu. Tentera junta berkata mereka melakukan tindakan itu kerana terdapat kesalahan penipuan besar-besaran, namun tuduhan dibantah penduduk negara itu yang bertindak mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here