Jual seekor ayam tapi rugi dua ekor

Kerajaan perlu menyegerakan pemberian pinjaman mudah kepada penternak ayam bagi menangani isu kenaikan harga bahan makanan itu di pasaran. Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Datuk Jeffrey Ng, berkata industri penternakan ayam amat terkesan dan berada dalam keadaan tenat berikutan terpaksa menanggung peningkatan pelbagai kos.

Di era pandemik COVID-19 ini, ramai penternak menghadapi kerugian, ternak ayam tetapi tiada orang beli dan kalau ada orang beli pun, keuntungan yang diperoleh tidak menjangkau harga kos. Kerugian yang dialami penternak ibarat kita menjual seekor ayam namun rugi dua ekor ayam. Sebab itu kami amat mengharapkan pinjaman mudah seperti yang dicadangkan oleh kerajaan sebelum ini katanya kepada BH, hari ini.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN), Datuk Dr Ameer Ali Mydin, sebelum ini dilaporkan meminta kerajaan mengambil tindakan segera bagi menangani isu kenaikan harga ayam. Katanya, pembekal mendakwa kenaikan harga itu berpunca daripada peningkatan harga dedak dan kekurangan tenaga buruh serta kemerosotan produktiviti berikutan kekurangan buruh menyebabkan bekalan ayam susut.

Mengulas lanjut, Jeffrey berkata, pinjaman mudah itu penting bagi menampung modal penternak menangani kos operasi dan membayar hutang yang terpaksa ditanggung disebabkan pandemik COVID-19. Jelasnya, pemberian pinjaman mudah itu sedikit sebanyak berupaya membantu memulihkan kembali harga ayam kepada waktu pra pandemik.

Modal operasi kita pun sudah kecut dan waktu kita nak menternak ayam, kita tiada modal untuk membeli anak ayam terbabit ditambah harga dedak yang meningkat sejak tahun lalu, naik RM29 atau lebih 30 peratus. Dahulu dengan modal RM100,000 kita boleh bela 10,000 ayam tetapi dengan modal sama sekarang, kita tidak lagi sanggup kerana semua kos meningkat katanya. Katanya, isu kekurangan pekerja asing juga menyebabkan penternak terpaksa menanggung kos kerja lebihan masa. Semua faktor ini amat menekan di peringkat penternak katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here