Covid-19: 53 lagi kematian, kes aktif meningkat

Kementerian Kesihatan melalui laman web Github melaporkan 53 kematian baru akibat Covid-19 semalam (15 Nov), menjadikan jumlah kematian terkumpul adalah sebanyak 29,729.

Satu daripada lima kematian baru melibatkan mereka yang tidak sempat menerima rawatan di hospital.

Sarawak melaporkan kematian tertinggi iaitu sebanyak 12 kes diikuti Terengganu (9), Sabah (8), Johor (5), Selangor (5), Kelantan (4), Kedah (3), Pahang (3), Negeri Sembilan (2) , Perak (1) dan Perlis (1). Tiada kematian baru dilaporkan di Melaka, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Menurut laman web CovidNow, Sarawak mencatatkan kematian tertinggi bagi setiap sejuta orang sejak dua minggu lalu, diikuti Terengganu dan Kelantan.

Hanya satu daripada 53 kematian yang dilaporkan semalam berlaku lebih seminggu lalu, disebabkan oleh kelewatan dalam pelaporan data. Purata 62 kematian akibat Covid-19 dilaporkan setiap hari dalam tempoh 30 hari lalu berbanding purata 54 kematian dalam tujuh hari lalu, yang menunjukkan penurunan.

Setakat ini sebanyak 914 kematian akibat Covid-19 dilaporkan pada bulan ini. Sebanyak 2,704 kematian dilaporkan pada Oktober, 9,680 pada September, 7,642 pada Ogos dan 3,858 pada Julai.

Setakat semalam, sebanyak 65,956 kes aktif Covid-19 direkodkan. Ini adalah peningkatan sebanyak 6.8 peratus daripada 61,760 kes aktif seminggu lalu. Berbanding 30 hari lalu, jumlah kes aktif telah menurun sebanyak 31.8 peratus daripada 96,663 kes.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here