Seorang lagi rakyat Malaysia dihukum mati di Singapura kerana edar dadah

Seorang penyelia pembersihan rakyat Malaysia yang ditangkap apabila beg berisi dadah dijumpai di motosikalnya dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura atas tuduhan mengedar dadah.

The Straits Times melaporkan, Munusamy Ramarmurth 39, didapati bersalah pada 10 Nov lepas kerana memiliki 6.3kg butiran, yang didapati mengandungi 57.54g heroin.

Undang-undang Singapura memperuntukkan hukuman mati jika jumlah heroin yang diperdagangkan melebihi 15g. Terdahulu, seorang lagi rakyat Malaysia, Nagaenthran K Dharmalingam 33, dijatuhi hukuman mati di Singapura kerana mengedar kira-kira 42.72gm heroin tulen.

Dalam penghakiman bertulis yang dikeluarkan semalam, hakim Audrey Lim berkata, beliau tidak percaya dengan cerita Munusamy.

Tertuduh, yang telah bekerja di Singapura selama 14 tahun, ditahan pada petang 26 Jan 2018, di Harbourfront Centre Tower 2.

Dia kemudian diiringi ke motosikalnya yang diletakkan di tempat letak kenderaan terbuka di Keppel Bay Tower, Harbourfront Avenue, di mana sebuah beg plastik berwarna merah yang mengandungi bahan terlarang tersebut ditemui di dalam kotak belakang motosikalnya.

Semasa perbicaraan, tertuduh berkata, dia membenarkan seorang rakyat Malaysia lain bernama Saravanan menyimpan beg itu di situ buat sementara waktu. Katanya, Saravanan memberitahunya seseorang yang dikenali sebagai “Boy” akan mengambilnya kemudian.

Tertuduh mendakwa dia menyangka beg itu mengandungi telefon bimbit curi kerana pada Julai 2017, Saravanan dan Boy memintanya membantu menyimpan beberapa telefon curi di dalam kotak.

Dia berkata, Saravanan memberitahunya barang-barang di dalam beg itu adalah “barang panas”.

Menurut tertuduh, istilah itu bermaksud “barangan yang dicuri” walaupun peguamnya, Mahadevan Lukshumayeh, tidak mempertikaikan bahawa ia juga boleh merujuk kepada dadah.

Lim membuat kesimpulan bahawa cerita Munusamy adalah rekaan. Mengikut undang-undang Singapura, mahkamah mempunyai budi bicara untuk tidak menjatuhi hukuman mati jika pihak pendakwaan memperakui bahawa seorang penghantar dadah membantu Biro Narkotik Pusat (CNB) secara substantif membanteras aktiviti dadah.

“Memandangkan pihak pendakwaan tidak mengeluarkan sijil bantuan substantif kepadanya… saya menjatuhkan hukuman mati mandatori ke atas (tertuduh),” kata Lim.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here