Bukti menunjukkan Azam Baki kendali, kawal akaun dagangannya – SC

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menjelaskan, keputusan bahawa tiada pelanggaran syarat di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung akaun dagangan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki adalah berdasarkan bukti bebas yang dikumpulkan.

SC berkata, bukti berkenaan menunjukkan Azam ialah pemegang akaun yang dinamakan dan mempunyai kawalan ke atas akaun dagangan itu. Selain itu, menurut SC, Azam juga mengendalikan akaun yang dibukanya kerana beliau memberi arahan untuk membeli, menjual dan memindahkan sekuriti daripada akaun berkenaan. Justeru, SC membuat keputusan bahawa tiada pelanggaran Seksyen 25(4) daripada Akta Industri Sekuriti (Depositori Pusat) 1991, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengikut Seksyen 25(4) SICDA, akaun dagangan perlu dibuka atas nama pemilik benefisial atau penama yang diberi kuasa. Semalam, SC merumuskan bahawa berdasarkan siasatan ia tidak dapat membuktikan terdapat pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) SICDA berhubung pemilikan saham menerusi akaun dagangan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.

Pengawal selia pasaran modal tempatan itu dalam satu kenyataan berkata, SC membuat kesimpulan dalam siasatannya itu berdasarkan bukti yang dikumpulkan. SC tidak dapat memastikan secara muktamad bahawa pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) SICDA telah berlaku, kata kenyataan itu.

Sebelum ini pada 6 Januari lalu, SC meminta semua pihak yang terbabit, termasuk Azam memberi penjelasan serta mengesahkan kenyataan yang dibuat, selain mengumpul sebarang bukti berkaitan. SC berkata, di bawah Seksyen 25 SICDA, semua akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti deposit atau penama yang dibenarkan.

Sehari sebelum itu pada 5 Januari, Azam dalam satu sidang media berasingan selepas berakhirnya sidang media Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, dalam penjelasannya kepada panel LPPR memaklumkan bahawa akaun saham beliau digunakan oleh adiknya, Datuk Nasir Baki untuk membeli saham di pasaran terbuka dengan pembiayaan sendiri. Azam berkata, saham yang dibelinya adiknya itu tiada kaitan dengan siasatan SPRM dan beliau tidak mempunyai kepentingan ke atas saham-saham terbabit. Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan Azam memiliki kepentingan dan pemilikan saham dalam beberapa syarikat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here