Jangan tergesa-gesa buka sempadan, Putrajaya diberitahu

Bekas Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye menggesa kerajaan supaya mengelak daripada membuat keputusan untuk membuka semula sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib ke atas pengembara. Beliau berkata, sempadan harus dibuka hanya selepas gelombang varian Omicron berjaya dikawal. Lee juga berkata, kerajaan perlu memantau kadar kemasukan ke hospital dan kes kematian Covid-19 sehingga bulan depan sebelum membuat keputusan.

Mengulas cadangan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Muhyiddin Yassin yang mencadangkan sempadan dibuka seawal 1 Mac, beliau berkata, bekas Perdana Menteri itu perlu menjelaskan asas cadangan itu. Katanya, kerajaan perlu bersikap lebih proaktif dalam mempromosikan pemberian dos penggalak Covid-19 untuk golongan dewasa dan vaksinasi untuk kanak-kanak. Selasa lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dipetik berkata, gelombang varian Omicron dijangka memuncak pada akhir Mac. Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memberi amaran bahawa kes harian Covid-19 dijangka mencecah 22,000 pada masa itu.

Jumlah kes meningkat tiga kali ganda sejak awal bulan ini daripada 5,566 pada 1 Feb kepada 17,134 semalam. Bagaimanapun pakar epidemiologi Dr Sanjay Rampal dari Universiti Malaya (UM) yang bersetuju dengan Muhyiddin berkata, pembukaan semula sempadan Malaysia adalah cara untuk hidup bersama virus.

Jangkitan varian Omicron telah pun berada dalam komuniti. Oleh itu sebarang kuarantin ke atas pelawat yang datang tidak memberi faedah tambahan sekarang,” katanya. Kawalan sempadan yang ketat dan langkah kuarantin berguna untuk menghalang kemasukan varian baharu yang berbahaya. Bagaimanapun ia tidak sesuai dan tidak efektif kos pada masa ini.

Sanjay berkata, risiko kesan teruk daripada varian Omicron dalam populasi yang divaksinasi adalah jauh lebih rendah berbanding dengan varian Delta dalam populasi yang tidak divaksinasi sebelum ini. Kita perlu mengukur semula persepsi dan tafsiran kita mengenai jumlah kes harian baharu. Sebagai contoh, 40,000 kes harian kini adalah bersamaan dengan 10,000 kes harian tahun lalu, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here