Kuala Lumpur, Mac-
Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) merekodkan 24 kejadian lubang benam dalam tempoh lima tahun sejak 2019 hingga 2024, dengan Perak mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 11 kes.
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRES) menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen memaklumkan tiga kejadian direkodkan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, dua di Kelantan dan masing-masing satu di Negeri Sembilan, Kedah, Selangor, Melaka dan Perlis.
“Kementerian ini, melalui JMG sentiasa komited dalam usaha pengurangan risiko bencana geologi di kawasan pembangunan yang melibatkan kawasan sensitif bencana geologi lubang benam untuk memastikan keselamatan awam terjaga,” menurut NRES.
Ia bagi menjawab soalan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai jumlah kejadian lubang benam yang dilaporkan di negara ini dalam lima tahun terakhir dan langkah kementerian dalam menangani isu berkenaan.
“Maklumat utama yang perlu diberi penekanan adalah maklumat geologi persekitaran tapak pembangunan yang menjadi asas kepada penyediaan laporan cadangan pemajuan dan laporan geoteknikal,” menurut NRES.





















