Penuntut guna wang ibu, rugi RM42,500 kena tipu

Kuantan: Penuntut universiti tempatan kerugian RM42,500 selepas menjadi mangsa penipuan urusan pembelian wang permainan (currency) dalam talian tidak wujud. Mangsa yang yakin mampu meraih pulangan menguntungkan daripada pembelian berkenaan menggunakan wang simpanan ibu semata-mata untuk membuat bayaran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 22 tahun turut menggunakan wangnya sendiri sebanyak RM1,705 untuk membuat bayaran membabitkan jumlah keseluruhan RM42,500. Menurutnya, mangsa dipercayai mempunyai kemahiran mengakses perbankan Internet milik ibunya yang juga seorang pesara.

Katanya, semua wang tersebut lesap selepas mangsa ditipu dalam urusan pembelian wang permainan itu di mana harga asal yang perlu dibayar hanya RM600. Nasib malang mangsa bermula selepas dia melihat iklan penjualan mata wang permainan dalam talian itu yang diiklankan melalui Instagram, kelmarin.

Mangsa tertarik untuk membelinya kerana harga yang ditawarkan jauh lebih rendah berbanding harga di platform pembelian dalam talian, katanya dalam kenyataan, hari ini. Mohd Wazir berkata, tanpa menyedari iklan itu dijadikan umpan untuk menipu mangsa yang bersetuju untuk membeli 38,400 mata wang permainan itu dengan harga RM600.

Mangsa membuat bayaran pada hari yang sama secara dalam talian melalui akaun bank yang diberikan suspek. Setelah bayaran itu dibuat, mangsa diminta untuk membuat bayaran tambahan untuk kos penukaran mata wang yang perlu ditanggung, katanya. Mohd Wazir berkata, dalam urusan itu suspek memperdaya mangsa dengan pelbagai helah hingga mendorongnya membuat 10 transaksi pembayaran melalui tiga akaun bank berasingan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM42,000.

Katanya, selepas semua bayaran dibuat mangsa mula curiga dan syak dia telah ditipu kerana jumlah yang dibayar berpuluh kali ganda dariharga asal. Susulan itu mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Jaya Gading, di sini semalan untuk tindakan lanjut, katanya. Menurutnya, Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun selain sebatan dan denda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here