Calon SPM maut motosikal bertembung

Kota Bharu: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung motosikal lain dalam kejadian di Jalan Pengkalan Chepa di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian jam 3 pagi itu, Muhammad Haikal Adnan Mohd Nor, 17, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda C100B dari arah Pengkalan Chepa ke Kota Bharu di lorong kiri. Setibanya di lokasi, mangsa tidak menyedari sebuah motosikal yang ditunggangi seorang remaja perempuan melawan arus.

Kedua motosikal itu bertembung menyebabkan mereka terjatuh dan remaja lelaki mendapat kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan, katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Mohd Suhaimi berkata, remaja perempuan yang berusia 15 tahun itu mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here