Tempahan janji temu dos penggalak kini dibuka dalam MySejahtera

Orang ramai kini boleh membuat janji temu suntikan dos penggalak vaksin COVID-19, menerusi Booking Management System dalam aplikasi MySejahtera untuk tempahan slot bermula 21 Mac ini di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation Sdn Bhd, Datuk Dr Anas Alam Faizli, berkata kemudahan tempahan itu dilaksanakan hasil inisiatif kerajaan, selain janji temu yang telah ditetapkan aplikasi MySejahtera.

Ia bertujuan meluaskan lagi liputan dan mempercepatkan suntikan dos penggalak dalam kalangan rakyat Malaysia, sebelum status vaksinasi penuh ditarik balik daripada penerima vaksin primer lengkap (dos 1 dan 2) bagi yang tidak mendapatkan dos penggalak selewat-lewatnya 31 Mac ini.

Tujuan kemudahan ini adalah untuk memupuk kesedaran masyarakat serta tanggungjawab individu terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan meluaskan akses kepada program vaksinasi sedia ada, terutama dalam kalangan warga emas, bagi memastikan fasa peralihan kepada endemik yang akan bermula 1 April depan dapat dilaksanakan dengan selamat, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Anas berkata, warga emas yang tidak divaksinasi atau tiada diberi dos penggalak, dengan komorbiditi, mempunyai risiko kematian yang lebih tinggi sekiranya dijangkiti COVID-19. Memandangkan Ramadan semakin hampir, dinasihatkan agar golongan ini mendapatkan dos penggalak secepat mungkin. Mari lindungi keluarga kita. Sama-sama kita meningkatkan tahap perlindungan kita sebelum memasuki fasa peralihan kepada endemik, katanya.

Orang ramai boleh merujuk laman web ProtectHealth: www.protecthealth.com.my untuk melihat senarai pusat pemberian vaksin (PPV) pilihan yang berdaftar bawah ProtectHealth sebagai senarai rujukan di ‘Find Vaccination Centre (PPV)’. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here