Pelayan restoran maut motosikal langgar tong sampah

Klang, Seorang pelayan restoran maut selepas motosikal ditunggang bersama rakannya merempuh tong sampah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terletak di bahu jalan di Jalan Kampung Delek, di sini. Dalam kejadian jam 7.40 malam kelmarin itu, Nurul Fazira Abdullah 21, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala rakannya, Elyana Nur Fatihah Helmie Shahril 13, cedera di tangan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata ketika kejadian mangsa bersama rakannya dalam perjalanan ke Kampung Delek dari Jalan Sungai Undang. Sejurus tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa merempuh tong sampah yang berada di sebelah kiri bahu jalan. Akibat rempuhan itu, mangsa gagal mengawal motosikal sebelum kenderaan itu terbabas,” katanya dalam kenyataan.

Hoong Fong berkata, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk tindakan selanjutnya. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya. Terdahulu, insiden berkenaan tular di Facebook menerusi rakaman daripada kamera papan pemuka sebuah kenderaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here