Senarai hitam warga asing diaktifkan semula – Hamzah

Larut: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengaktifkan semula rekod individu yang disenarai hitam daripada memasuki negara ini susulan pembukaan sempadan sepenuhnya bermula 1 April.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata ia bagi menyekat kemasukan mereka ke dalam negara yang sekali gus boleh meningkatkan kadar kes jenayah. Beliau yakin ramai dalam kalangan mereka yang cuba masuk ke Malaysia ketika ini kerana beranggapan pihak berkuasa telah melonggarkan peraturan ketika negara sedang dalam Fasa Peralihan ke Endemik.

Kita siap siaga untuk memastikan semua itu dapat kita pertahankan demi keselamatan rakyat yang ada dalam negara kita… dan orang luar yang mahu masuk sini juga berasa lega bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang selamat untuk mereka kunjungi. Ada senarai hitam… yang kita sudah pun bersedia untuk memastikan bahawa mereka ini kita tidak benarkan masuk ke negara kita,” katanya tanpa menjelaskan lanjut status rekod senarai hitam tersebut sebelum ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan masjid dan surau Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau di Dewan Sekolah Agama Rakyat Batu 14, pada Sabtu. Menurutnya, ketibaan Ramadan juga sering menjadi faktor kepada pihak luar untuk melakukan aktiviti jenayah seperti penyeludupan dan pencerobohan di perairan negara.

Justeru itu, katanya, semua agensi keselamatan dan penguatkuasaan telah diarah untuk bersiap sedia sejak sebulan lalu bagi memastikan keselamatan negara sentiasa diutamakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here