Sebanyak 13 lagi kematian dicatatkan pada hari kelima Op Selamat 18 sempena Aidilfitri, semalam. Ini menjadikan 89 kematian dicatatkan dalam tempoh lima hari sejak operasi itu dilancarkan pada 29 April lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, berkata sepanjang lima hari Op Selamat 18, sebanyak 8,361 kemalangan berlaku membabitkan 10,869 kenderaan.
Daripada jumlah itu, katanya, 85 kes kemalangan maut membabitkan 89 kematian. Semalam, sebanyak 13 kemalangan berlaku dengan 13 kematian. Angka itu satu penurunan besar berbanding 1 Syawal, yang mencatatkan 28 kematian menerusi 25 kemalangan maut.
Statistik Op Selamat 18 keseluruhan setakat ini menemui penunggang/pembonceng motosikal masih mencatatkan kematian tertinggi dengan 54 kematian, diikuti pemandu/penumpang kereta (25).
Selain itu, pejalan kaki (enam), pemandu/penumpang van (dua), pemandu/penumpang teksi dan pemandu/penumpang jip, masing-masing satu kematian, katanya semalam.
Razarudin berkata, Selangor masih mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi dengan 1,943 kes diikuti Johor (1,147), Kuala Lumpur (810), Perak (798), Pulau Pinang (697), Pahang (463) dan Negeri Sembilan (422).
Katanya, Kelantan mencatat 392 kes, manakala Melaka (331), Sabah (269), Sarawak (260), Terengganu (240) dan Perlis (58).
Beliau berkata, Selangor turut mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi dengan 11 kes, manakala Johor dan Pahang, masing-masing sembilan kes, Perak dan Sarawak pula tujuh kes setiap negeri.
Seterusnya, Kedah, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan masing-masing mencatat enam kes, Terengganu (lima), Kuala Lumpur (empat), Perlis (tiga) dan Melaka serta Sabah masing-masing dua kes.
Kebanyakan kemalangan berlaku di jalan bandaran, iaitu dalam tempoh lima Op Selamat 18, sebanyak 3,398 kemalangan dicatatkan di jalan itu. Ini diikuti dengan jalan Persekutuan dengan 1,783 kes, jalan negeri (1,619), lebuh raya (880) dan jalan lain (681), katanya.
Mengenai saman, Razarudin berkata, 142,993 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang lima hari Op Selamat 18. Sebanyak 106,358 saman yang dikeluarkan atas enam kesalahan utama, iaitu memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, melanggar lampu isyarat dan menggunakan telefon bimbit.
Dalam tempoh lima hari ini, saman tertinggi memandu melebihi had laju dengan 106,358 saman, melanggar lampu isyarat (1,570), menggunakan telefon bimbit (876), memotong barisan (613), memotong garisan berkembar (398), memandu di lorong kecemasan ( 278), katanya.























