56,990 kes kemalangan pekerjaan tahun lalu

Dua daripada tiga kematian pekerja yang berlaku setiap hari berpunca daripada kemalangan individu yang berulang alik ke tempat kerja. Statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menunjukkan jumlah kemalangan pekerjaan yang dilaporkan kepada agensi itu pada tahun lalu adalah sebanyak 56,990 kes, berbanding 68,183 pada 2020.

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata memandangkan negara kini berada dalam fasa peralihan ke endemik, sektor ekonomi kembali rancak beroperasi dan semakin ramai rakyat Malaysia yang memilih untuk bekerja sendiri sebagai pemandu e-hailing.

“Trend kemalangan pekerjaan dalam tempoh ini menunjukkan penurunan lebih 16 peratus dan pengurangan itu berkemungkinan besar disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, iaitu ramai individu masih bekerja di rumah berbanding di pejabat, sekaligus mengurangkan keperluan perjalanan berulang alik ke tempat kerja.

Namun, PERKESO memandang serius isu ini kerana kemalangan memberi impak yang besar terhadap ahli keluarga, majikan dan produktiviti negara. Sehubungan itu, PERKESO memperkenalkan satu lagi program pendekatan pencegahan kemalangan baharu, iaitu Ops Cegah, katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Ops Cegah Kebangsaan 2022 dengan tema ‘Kebersamaan Menangani Kemalangan Pekerja’ yang akan dilaksanakan selama 15 hari bermula hari ini sehingga 31 Mei di seluruh negara. Menerusi Ops Cegah, PERKESO mengambil pendekataan dengan memberi maklumat dan panduan kepada pengurusan tertinggi syarikat untuk menerap dan mengamalkan amalan serta langkah pencegahan kemalangan pekerjaan kepada pekerja mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here