Baling: Arwah seorang kakak yang ceria dan sangat baik, malah dua anaknya sangat rapat dengan ibu mereka, nak ke mana-mana pun mereka mesti bersama, kata Mohd Asyraf Ibrahim 34.
Mohd Asyraf adalah adik kepada Masyitoh Ibrahim, 37, yang meninggal dunia selepas Proton Persona yang dinaiki bersama dua anaknya terbabas lalu terjun ke dalam Sungai Muda di Jambatan Syed Omar, Jalan Sungai Petani – Baling, dekat sini, semalam.
Menurutnya, kali terakhir dia bertemu dengan arwah kakaknya itu pada sambutan Aidilfitri lalu dan hubungan mereka seperti biasa. Katanya, dua anak saudaranya, Muhammad Ziyad Zikri Sharudin 7, dan Muhammad Ziyad Haziq 5, pula seorang anak yang baik dan memanggilnya dengan gelaran pak cik.
Cuma ketika kejadian, dua beradik itu mengikut ibu mereka ke program gotong-royong di sekolah mereka iaitu di Sekolah Kebangsaan Kampung Selarong, manakala abang sulung mereka, Muhammad Ziyad Hadif, 10, pula tidak ikut.
Saya terkejut mendengar berita yang menimpa mereka melalui salah seorang abang saya dan bergegas ke sini dengan harapan mereka ditemui selamat tetapi apabila mereka disahkan meninggal dunia, katanya ketika ditemui di lokasi pencarian tiga beranak itu di Jambatan Syed Omar, Jalan Sungai Petani – Baling , dekat sini, hari ini.
Menurut Mohd Asyraf, sebelum ini, arwah kakaknya menetap di Pekan Kuala Ketil dan baru berpindah ke Sungai Petani. Katanya, jenazah tiga beranak itu dijangka dikebumikan di kampung halaman mereka di Bukit Pinang di Alor Setar sejurus selepas urusan bedah siasat selesai.
Sementara itu, bapa dua kanak-kanak terbabit, Sharudin Aziz, 51, gagal menahan sebak sebaik melihat jasad dua anaknya itu dibawa masuk ke dalam kenderaan polis.
Katanya, dia hanya mengetahui kejadian itu pada jam 7 malam selepas rakannya memberitahu memasang nombor pendaftaran kereta menggunakan nombor kenderaannya.
Saya bergegas ke sini untuk melihat apa yang berlaku kerana ada saksi nampak kereta itu hanyut dan tenggelam dalam sungai katanya.-HM