Edar dadah: Rayuan ditolak, hukuman mati kelindan lori kekal

Seorang kelindan lori gagal dalam usaha mengetepikan sabitan dan hukuman mati atas kesalahan mengedar 83.03g methamphetamine empat tahun lalu selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya. M Santanasamy, 45, juga tidak berjaya dalam rayuannya mengetepikan sabitan, hukuman penjara dan sebatan rotan dikenakan terhadapnya atas dua lagi pertuduhan memiliki dadah.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan Kamaludin Md Said, Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menolak rayuan Santanasamy. Kamaludin berkata, terdapat banyak bukti menunjukkan Santanasamy mempunyai jagaan dan kawalan ke atas dadah tersebut. Beliau berkata, sabitan Santanasamy adalah selamat dan menolak rayuannya. Santanasamy mempunyai satu lagi peluang untuk merayu iaitu di Mahkamah Persekutuan.

Dia dituduh di Mahkamah Tinggi bersama K Thierruselvan dan S James atas pertuduhan mengedar 83.03g methamphetamine, memiliki 7.48g ganja dan 10.13g heroin. Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Sri Rampai, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, 11.40 pagi, 14 Feb 2018. Pada 14 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi mensabitkan Santanasamy atas kesalahan mengedar dan menjatuhkan hukuman mati.

Dia juga didapati bersalah dan dijatuhi hukuman 11 tahun penjara dan 10 sebatan kerana memiliki ganja dan dua tahun penjara kerana memiliki heroin. Mahkamah Tinggi bagaimanapun melepas dan membebaskan Thierruselvan, 38, dan James, 43, atas kesalahan mengedar dan memiliki ganja.

Mereka telah disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara dua tahun kerana memiliki heroin. Mereka tidak merayu ke Mahkamah Rayuan. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Asmah Musa dan Wong Poi Yoke manakala S S Ruban mewakili Santanasamy.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here