Azam Baki dilantik semula atas tugas memuaskan – PM

PUTRAJAYA: Keputusan melantik semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat atas kapasiti dan tugasnya yang memuaskan. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Azam dilihat melaksanakan tugas dan khidmat yang memuaskan sepanjang bergelar Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Setakat yang saya lihat mereka (SPRM) menjalan tugas dengan memuaskan, malah beliau (Azam) mengambil tindakan tanpa memilih puak dan parti. Belum pernah dalam sejarah, pejabat-pejabat menteri digeledah dan mengenal pasti tindakan ke atas pegawai-pegawai selain terus tindakan diambil sementara siasatan dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di sini hari ini.

Katanya, kerajaan pada dasarnya memberi kebebasan kepada Azam dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun untuk menjalankan tugas khususnya memerangi rasuah. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali sebelum ini memaklumkan Khidmat Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dilanjutkan selama setahun lagi bermula Jumaat lalu selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurutnya, pelantikan itu selaras dengan subseksyen 5(1) dan (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694). Azam mula memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mei 2020 ketika pentadbiran tiga Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here