Polis siasat kaitan mayat berbungkus kanvas dengan geng kongsi gelap 360

MELAKA: Polis menyiasat kemungkinan mayat dua lelaki yang ditemui semalam ada kaitan dengan geng kongsi gelap 360.Sumber berkata, polis meneliti semua sudut termasuk kewujudan tatu burung hantu pada satu daripada mayat.

Difahamkan tatu burung hantu kerap dikaitkan dengan geng kongsi gelap 360 yang pernah ditumpaskan polis Johor pada 2017. Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christoper Patit ketika dihubungi berkata, pihaknya masih mengesan identiti suspek dan tidak dapat mengesahkan sekiranya mangsa terbabit dengan kongsi gelap.

Setakat ini, siasatan awal penemuan kedua-dua mayat tiada kaitan dengan kongsi gelap, namun siasatan masih diteruskan. Bedah siasat mayat juga tidak dapat memastikan punca kematian berikutan pakar patalogi tidak menemui apa-apa kesan yang boleh menyebabkan kematian. Jadi, polis masih menunggu hasil ujian kimia untuk memastikan punca kematian kedua-dua mangsa, katanya.

Media semalam melaporkan mayat dua lelaki bertatu ditemui dalam bungkusan kanvas di kawasan semak di tepi Jalan Kampung Ujong Padang, Cheng di sini. Difahamkan, pemandu lori barangan runcit berusia 35 tahun menemui mayat itu ketika melalui lokasi kira-kira 9 pagi, sebelum memaklumkan kepada polis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here