Kuala Lumpur, Mac
Polis merampas sepucuk pistol yang disyaki digunakan seorang warga emas yang tidak berpuas hati dengan ejen penarik kereta, yang video kejadian itu jadi tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata senjata api itu dirampas daripada suspek berusia 60 tahun yang bekerja sendiri, selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang semalam.
Kejadian didakwa berlaku pada 10.55 pagi Selasa lepas di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras semasa pengadu dan seorang rakan dikatakan mahu menarik kereta dinaiki anak perempuan suspek yang didakwa mempunyai tunggakan bayaran pinjaman.
“Suspek didakwa telah datang ke lokasi kejadian untuk menghalang tindakan pengadu dan berlaku perselisihan faham kerana pengadu tidak dapat mengemukakan surat bank dan laporan polis berkaitan tunggakan bayaran itu.
“Suspek kemudiannya didakwa mengeluarkan pistol dari belakang badan dan mengacunya ke arah pengadu serta mengarahkan dia dan rakannya untuk beredar dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.




















