Lelaki didakwa sengaja langgar anggota polis

Ipoh, Feb 9.
Seorang lelaki yang sebelum ini ditahan bersama tunangnya dalam kejadian langgar lari Ahad lalu, didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa.

Tertuduh, T. Kuna, 34, memahami pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Tertuduh didakwa sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap Muhammad Muhammad Dzulfaizi Dzulkafli, 34, dengan melanggarnya menggunakan kereta Proton Iriz bernombor pendaftaran WB1209S, di hadapan kebun ladang sawit, Jalan Chemor di Tanjung Rambutan, di sini kira-kira jam 8 malam Ahad lalu.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohamad Nazreen menawarkan jaminan RM10,000 sementara menunggu laporan perubatan mangsa serta lantikan peguam tertuduh.Tertuduh bagaimanapun meminta jumlah itu dikurangkan dengan mengambil kira dia menjaga ibunya selain pendapatannya sebagai pekebun sekitar RM1,500 sebulan.

Ainul Shahrin kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan tarikh 26 Mac untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan pasangan tunang itu ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kejadian langgar lari seorang anggota polis yang ditinggalkan dalam keadaan cedera parah termasuk mengalami patah tulang rusuk serta bahu susulan dilanggar kereta Proton Iriz dalam kejadian di Jalan Tanjung Rambutan-Chemor, di sini, Ahad lalu.

Bagaimanapun, wanita yang juga tunang kepada tertuduh dalam kes ini dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here