Gas Ammonia Bocor Di Kilang Ais – 2 Sesak Nafas

Ipoh, Sep 19.
Dua mangsa sesak nafas susulan insiden kebocoran gas ammonia di sebuah kilang ais di Persiaran Industri Rapat di Simpang Pulai di sini, awal pagi tadi. Mangsa membabitkan lelaki dan wanita masing-masing berusia 25 dan 33 tahun bagaimanapun keadaan mereka stabil di zon kuning selepas dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Kedua-dua mangsa bukan pekerja kilang ais terbabit, sebaliknya berada di kilang bersebelahan ketika kebocoran gas itu berlaku.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata 23 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dibantu BBP Pasir Puteh dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 5.11 pagi. Katanya, berdasarkan maklumat, penyelia kilang melaporkan paip saluran gas ammonia bocor dan bau gas dapat dikesan dalam jarak antara 30 hingga 90 meter.

Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dari BBP Pasir Puteh menutup kebocoran dikenal pasti di bahagian injap tangki seterusnya mengambil bacaan di zon kawasan itu, selain mengenal pasti kebocoran yang masih terdapat pada tangki.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here