Genting Malaysia Bhd dijangka mengurangkan pekerja

Pemilik resort, Genting Malaysia Bhd dijangka mengurangkan pekerja dan menstruktur semula operasinya berikutan kemerosotan perniagaan susulan sekatan bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

Semalam naib presiden kanan Genting, Quan Cher Siong dilaporkan berkata, syarikat itu perlu menstruktur semula operasinya di Malaysia, iaitu dengan “memberhentikan lebihan pekerja, menawarkan skim pemberhentian kerja sukarela dan bersama”.

Dalam memo dalaman kepada pekerja, beliau juga dilaporkan berkata bahawa syarikat itu menjangka pemulihan perniagaan amat mencabar.

“Apabila operasi perniagaan dimulakan semula, kita akan berdepan cabaran bagi meraih tahap perniagaan yang dinikmati syarikat sebelum tercetusnya pandemik ini,” katanya.

Dalam laporan suku tahunan kepada pasaran saham pada Khamis, Genting Malaysia melaporkan kerugian bersih sebanyak RM417.96 juta akibat gangguan ke atas operasi perniagaannya di seluruh dunia.

Genting memiliki hotel resort dan kasino di Genting Highland dan resort di Langkawi dan Terengganu. Semua hotel di Malaysia ditutup sejak 18 Mac sebagai sebahagian daripada usaha menyekat jangkitan wabak itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here