Pemandu treler direman empat hari

Putrajaya, Sep 21
Pemandu treler yang terbabit dalam insiden rempuhan 14kenderaan di KM5.7 Jalan Persiaran Utara menghala Puchong di sini semalam direman empat hari bermula hari ini.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 29 tahun itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin yang membenarkan permohonan polis untuk siasatan kes tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini, hari ini. Dalam kemalangan pada 10.15 pagi itu, yang membabitkan 14 kenderaan termasuk sebuah motosikal polis trafik, lori treler berkenaan melanggar barisan kenderaan yang sedang berhenti di laluan terbabit menyebabkan dua penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz semalam, berkata dua mangsa yang maut itu dikenal pasti sebagai Faris Haziq Abu Bakar, 25, yang merupakan pekerja Pos Malaysia dan Yuswar Mohd Uyus, 39, pekerja di Mahkamah Ampang.

Beliau berkata pemandu treler itu tidak mempunyai rekod kesalahan trafik dan ujian air kencing yang dilakukan terhadapnya didapati negatif.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here