Tiga mayat di stor rumah – Sepasang suami isteri warga Sri Lanka ditahan.

Kuala Lumpur, Sep 23.
Pemeriksaan polis di sebuah rumah sewa di tingkat dua sebuah rumah kedai empat tingkat di Jalan Perhentian Kampung Kovil Hilir, Sentul di sini selepas menerima laporan berlaku pergaduhan membongkar penemuan tiga mayat lelaki di rumah terbabit, malam tadi.Mayat ditemui sepasukan anggota polis kereta peronda (MPV) yang bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan dari orang awam menerusi MERS 999 kira-kira jam 11 malam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, berkata ketiga-tiga mayat dipercayai mangsa bunuh itu ditemui dalam keadaan bertindan dalam sebuah bilik stor rumah berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati rumah sewa lima bilik itu disewa pasangan suami isteri warga Sri Lanka, berusia lingkungan 40-an serta seorang anak lelaki berusia 20-an dan dua lagi lelaki rakan senegara berusia antara 20-an hingga 30-an.”Pergaduhan itu dipercayai berlaku antara pasangan suami isteri itu dengan dua lelaki warga Sri Lanka yang didakwa rakan mereka dari Klang, Selangor yang datang melawat dan bermalam di situ sejak dua hari lalu.

Bagaimanapun, ketika polis sampai, kedua-dua lelaki terbabit sudah melarikan diri dan mereka kini menjadi suspek utama dalam kejadian pembunuhan ini, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini, hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here